Wednesday, February 17, 2010

SUTERA KASIH [DIS 09 - APR 10]




Salam muhibbah buat semua.
Saat melangkah ke sesi Disember 09 - April 10, maka bermulalah detik-detik penuh cabaran dan kesibukan menjalani kehidupan sebagai pelajar UiTM tidak mengira kampus atau program.

Namun Persatuan Peer Counselor UiTMPP tetap cergas menggerakkan segala program yang telah dirancang pada sesi sebelumnya.
Sebagai titik permulaan, adalah menjadi tradisi persatuan bagi menganjurkan program Sutera Kasih setelah AGM Peers dijalankan.

..:Butiran Program:..
Program: Sutera Kasih PEERS
Tarikh: 16 Januari 2010
Tempat: Dewan Kuliah Perdana 1
Masa: 8.30 pm

..:Objektif Program:..
-->Mewujudkan persefahaman antara ahli persatuan Peer Counselor
-->>>Meningkatkan kemahiran berkomunikasi
-->Memperkenalkan ahli majlis tertinggi kepada ahli baru
-->Memperkenalkan tanggungjawab dan etika sebagai ahli Peer Counselor
-->Mewujudkan integrasi antara ahli dan persatuan

Program Sutera Kasih, tergolong dalam kategori aktiviti "Kemahiran Komunikasi", secara amnya merupakan sebuah program orientasi bagi memperkenalkan ahli baru kepada barisan kepimpinan dan mantan persatuan Peer Counselor, seraya mendedahkan peserta kepada latarbelakang penubuhan, serta misi dan visi persatuan.

Program ini dianjurkan pada waktu malam oleh kerana program PPKP berlangsung pada sebelah pagi dan petang hari tersebut. AJK Program sejumlah 12 orang adalah terdiri daripada ahli Majlis Tertinggi sendiri, dan seramai 28 orang ahli baru persatuan Peer Counselor telah hadir bagi menjayakan program ini.

Berikut adalah ringkasan aturcara program kali ini...

Ucapan Pembukaan
Pengerusi majlis memulakan ucapan pembukaan, diikuti bacaan doa oleh saudara Zulfadhli selaku Ketua Exco Badar.

Sesi Pengenalan - "Apa Itu Peer Counselor?"
Sesi ini dijalankan oleh Timbalan Naib Presiden 1, saudara Mohamed Hafiz. Pelbagai info persatuan seperti sejarah penubuhan, misi dan visi persatuan, serta tanggungjawab ahli Peer Counselor, disalurkan dan cuba diserapkan kepada setiap peserta yang hadir.

Sesi Icebreaking
Setiap ahli baik peserta mahupun MT merangkap AJK Program diberi peluang untuk memperkenalkan diri seraya membuka peluang individu untuk bersuara.

Slot 1: LDK - Identiti Kumpulan
Slot ini pada kali ini sedikit istimewa kerana dijalankan dalam mod "tanpa kertas", di mana setiap kumpulan perlu memberitahu nama, logo, slogan dan cheers kumpulan hanya menggunakan suara dan gerak tubuh. Tanpa sebarang kertas mahjong dan pen. Di samping menjimatkan perbelanjaan, kami dapat mencungkil kreativiti setiap kumpulan. Kriteria ini nyata terserlah melalui hasil persembahan mereka yang unik dan kreatif.

Slot 2: Soalan Dibalas Soalan
Berinspirasikan rancangan Spontan di saluran Astro, kami merencanakan slot ini bagi menggamatkan suasana dewan serta menambah keceriaan pada wajah para peserta yang semakin layu kala saat-saat berdetik ke pertengahan malam. Nyata gelagat mereka membuat kami tidak kering gusi, namun apa yang penting semangat dan kerjasama kumpulan nyata terserlah sementelah mereka cuba mengekalkan kumpulan mereka di tangga teratas.

Selingan - Laskar Pelangi
Sebuah selingan ciptaan sendiri presiden persatuan, saudara Mohamad Kamarul Sharil. Aktiviti ini memerlukan peserta berdiri sambil menggerakkan tubuh badan bagi menggayakan lirik lagu Laskar Pelangi nyanyian kumpulan Nidji, yang merupakan lagu tema persatuan pada sesi kali ini.
Boleh dikatakan, sedikit aktiviti untuk menyegarkan mata sebelum slot seterusnya?

Slot 3: Debat Antara Kumpulan
Merupakan slot kegemaran kami, debat kali ini berkisar tentang situasi prestasi akademik pelajar IPTA yang semakin merosot, maka siapa perlu dipersalahkan? Diri sendiri, keluarga, kawan-kawan, atau persekitaran? Setiap kumpulan diberikan satu daripada 4 peranan tersebut tanpa sebarang pilihan, lalu mereka dikehendaki mengutus hujah-hujah bagi meneguhkan bahawa mereka tidak bersalah, malah diminta untuk mengutarakan siapa yang harus dipertanggungjawabkan.
Dalam slot ini, kami dapat melihat beberapa peserta yang terserlah potensi mereka baik dari segi kepimpinan mahupun komunikasi serta ketegasan pendirian.

Sebelum berakhirnya program pada malam itu, para peserta dilepaskan untuk menikmati makan malam, dan seterusnya kami melangsungkan Majlis Penutupan & Penyampaian Hadiah.

Kesimpulannya, program Sutera Kasih kali ini agak berbeza pengaturcaraannya berbanding beberapa semester yang lalu. Alhamdulillah, program ini berjalan dengan baik meski ada kekangan yang terpaksa ditempuh dalam menjayakan program ini.

Semoga berjumpa lagi dalam post seterusnya. Sekian, wassalam.

No comments: