Wednesday, February 17, 2010

SUTERA KASIH [DIS 09 - APR 10]




Salam muhibbah buat semua.
Saat melangkah ke sesi Disember 09 - April 10, maka bermulalah detik-detik penuh cabaran dan kesibukan menjalani kehidupan sebagai pelajar UiTM tidak mengira kampus atau program.

Namun Persatuan Peer Counselor UiTMPP tetap cergas menggerakkan segala program yang telah dirancang pada sesi sebelumnya.
Sebagai titik permulaan, adalah menjadi tradisi persatuan bagi menganjurkan program Sutera Kasih setelah AGM Peers dijalankan.

..:Butiran Program:..
Program: Sutera Kasih PEERS
Tarikh: 16 Januari 2010
Tempat: Dewan Kuliah Perdana 1
Masa: 8.30 pm

..:Objektif Program:..
-->Mewujudkan persefahaman antara ahli persatuan Peer Counselor
-->>>Meningkatkan kemahiran berkomunikasi
-->Memperkenalkan ahli majlis tertinggi kepada ahli baru
-->Memperkenalkan tanggungjawab dan etika sebagai ahli Peer Counselor
-->Mewujudkan integrasi antara ahli dan persatuan

Program Sutera Kasih, tergolong dalam kategori aktiviti "Kemahiran Komunikasi", secara amnya merupakan sebuah program orientasi bagi memperkenalkan ahli baru kepada barisan kepimpinan dan mantan persatuan Peer Counselor, seraya mendedahkan peserta kepada latarbelakang penubuhan, serta misi dan visi persatuan.

Program ini dianjurkan pada waktu malam oleh kerana program PPKP berlangsung pada sebelah pagi dan petang hari tersebut. AJK Program sejumlah 12 orang adalah terdiri daripada ahli Majlis Tertinggi sendiri, dan seramai 28 orang ahli baru persatuan Peer Counselor telah hadir bagi menjayakan program ini.

Berikut adalah ringkasan aturcara program kali ini...

Ucapan Pembukaan
Pengerusi majlis memulakan ucapan pembukaan, diikuti bacaan doa oleh saudara Zulfadhli selaku Ketua Exco Badar.

Sesi Pengenalan - "Apa Itu Peer Counselor?"
Sesi ini dijalankan oleh Timbalan Naib Presiden 1, saudara Mohamed Hafiz. Pelbagai info persatuan seperti sejarah penubuhan, misi dan visi persatuan, serta tanggungjawab ahli Peer Counselor, disalurkan dan cuba diserapkan kepada setiap peserta yang hadir.

Sesi Icebreaking
Setiap ahli baik peserta mahupun MT merangkap AJK Program diberi peluang untuk memperkenalkan diri seraya membuka peluang individu untuk bersuara.

Slot 1: LDK - Identiti Kumpulan
Slot ini pada kali ini sedikit istimewa kerana dijalankan dalam mod "tanpa kertas", di mana setiap kumpulan perlu memberitahu nama, logo, slogan dan cheers kumpulan hanya menggunakan suara dan gerak tubuh. Tanpa sebarang kertas mahjong dan pen. Di samping menjimatkan perbelanjaan, kami dapat mencungkil kreativiti setiap kumpulan. Kriteria ini nyata terserlah melalui hasil persembahan mereka yang unik dan kreatif.

Slot 2: Soalan Dibalas Soalan
Berinspirasikan rancangan Spontan di saluran Astro, kami merencanakan slot ini bagi menggamatkan suasana dewan serta menambah keceriaan pada wajah para peserta yang semakin layu kala saat-saat berdetik ke pertengahan malam. Nyata gelagat mereka membuat kami tidak kering gusi, namun apa yang penting semangat dan kerjasama kumpulan nyata terserlah sementelah mereka cuba mengekalkan kumpulan mereka di tangga teratas.

Selingan - Laskar Pelangi
Sebuah selingan ciptaan sendiri presiden persatuan, saudara Mohamad Kamarul Sharil. Aktiviti ini memerlukan peserta berdiri sambil menggerakkan tubuh badan bagi menggayakan lirik lagu Laskar Pelangi nyanyian kumpulan Nidji, yang merupakan lagu tema persatuan pada sesi kali ini.
Boleh dikatakan, sedikit aktiviti untuk menyegarkan mata sebelum slot seterusnya?

Slot 3: Debat Antara Kumpulan
Merupakan slot kegemaran kami, debat kali ini berkisar tentang situasi prestasi akademik pelajar IPTA yang semakin merosot, maka siapa perlu dipersalahkan? Diri sendiri, keluarga, kawan-kawan, atau persekitaran? Setiap kumpulan diberikan satu daripada 4 peranan tersebut tanpa sebarang pilihan, lalu mereka dikehendaki mengutus hujah-hujah bagi meneguhkan bahawa mereka tidak bersalah, malah diminta untuk mengutarakan siapa yang harus dipertanggungjawabkan.
Dalam slot ini, kami dapat melihat beberapa peserta yang terserlah potensi mereka baik dari segi kepimpinan mahupun komunikasi serta ketegasan pendirian.

Sebelum berakhirnya program pada malam itu, para peserta dilepaskan untuk menikmati makan malam, dan seterusnya kami melangsungkan Majlis Penutupan & Penyampaian Hadiah.

Kesimpulannya, program Sutera Kasih kali ini agak berbeza pengaturcaraannya berbanding beberapa semester yang lalu. Alhamdulillah, program ini berjalan dengan baik meski ada kekangan yang terpaksa ditempuh dalam menjayakan program ini.

Semoga berjumpa lagi dalam post seterusnya. Sekian, wassalam.

Sunday, November 1, 2009

PROGRAM BAKTI SISWA "KEMBARA BIMBINGAN KASIH" DI SEKOLAH KEBANGSAAN PASIR BESAR, NEGERI SEMBILAN



Salam muhibbah kepada semua.
Slides di atas kelihatan menarik bukan?
Kata orang..jauh perjalanan, luas pengalaman.
Ya, itulah intipati program "Kembara Bimbingan Kasih" atau lebih mesra digelar "KBK".
Program KBK dianjurkan Persatuan Peer Counselor sebagai program bersiri persatuan kami yang akan dijalankan setiap tahun.
Slide di atas merupakan program KBK siri pertama yang berjaya dianjurkan.

Pada 14 Ogos 2008, serombongan fasilitator @ ahli PEERS seramai 38 orang telah mengembara dari UiTM Penang ke SMK Pasir Besar, Negeri Sembilan bagi menabur bakti siswa kepada generasi muda yang bakal menerajui negara kita pada masa hadapan .

KBK siri pertama merupakan kem kepimpinan, maka hampir 90 orang pelajar SMK Pasir Besar terdiri daripada pengawas sekolah, pengawas pusat sumber serta ketua tingkatan telah menyertai program yang dijalankan selama 3 hari 2 malam ini.

Objektif program ini adalah untuk membantu menerapkan sifat kepimpinan yang utuh dalam jiwa pelajar bermula di peringkat sekolah, serta menyerlah bakat serta potensi kepimpinan yang ada dalam diri mereka.

Buat kami para fasilitator, kami dapat menimba pengalaman menjalankan sebuah program yang cukup besar tatkala menghadapi 1001 ragam pelajar sekolah serta para fasilitator sendiri. Di sini, kami belajar bekerjasama menangani sebarang isu yang timbul bagi memastikan kelancaran program agar matlamatnya berjaya dicapai.

Antara aktiviti yang dijalankan sepanjang program itu ialah LDK, Night Explorace, Debat serta Siang Kebudayaan. Persembahan mereka bertemakan kemerdekaan bersempena bulan Ogos yakni bulan kemerdekaan kita.

Disebalik rintangan dan cabaran yang harus ditempuhi, program hasil kerjasama antara Persatuan Peer Counselor UiTMPP dan pihak SMK Pasir Besar ini ternyata merupakan kejayaan besar buat persatuan kami seluruhnya.

Kami telah merancang program KBK siri 2 namun atas kekangan yang tidak dapat dielakkan, program ini bagi siri ke-2 masih belum dapat dijalankan.
Walau bagaimanapun, insyaAllah kami akan bergerak lagi pada semester hadapan.
Nantikan kami di....sana!

Mana? Kita tunggu...~